Wednesday, September 19, 2012

Muslihat di sebalik keganasan..


Minggu lalu, bas Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin KEADILAN telah diserang di Kota Bharu, Kelantan. Kemudian, pada malamnya satu serangan berlaku di Masjid Al-Hussain di Seberang Pumpong, Kedah. Serangan dalam masjid datang dari gerombolan 50 ahli Perkasa. 
Serangan berlaku ketika Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memberi tazkirah. Seminggu kemudian bas yang sama telah diserang di Melaka. Apa maknanya semua ini? Apa ertinya serangan ini? Apa yang tersirat dan apa yang tersurat apabila kita membaca berita-berita serangan ini? 
Memang betul ini bukan serangan RPG(rocket propel granade). Memang betul ini bukan serangan Klaskinkov atau M16. Ini hanya serangan cat merah yang dilempar ke cermin bas. Ini hanya balingan batu-bata yang memecahkan cermin bas. Ada yang berpendapat cat boleh dibasuh dan cermin pecah boleh diganti. Sekali pandang, mungkin ada yang menganggap ini hanyalah kerja anak-anak muda yang diupah oleh United Malays National Organisation. Jika pembaca memiliki jalur pemikiran ini, maka anggapan ini salah. Pandangan ini silap. 
Untuk memahami semua serangan ini, biar saya surahkan sejelas mungkin agar kita sedar apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Mengetahui apa yang sedang berlaku amat penting. Jika kita faham apa yang berlaku sekarang, kita boleh membayangkan apa yang akan berlaku kemudian. 
Pada ketika ini, dunia politik Melayu pecah dua. Saya menekankan DUNIA POLITIK MELAYU atau Malay Politic kerana di Malaysia ini Politik Melayu adalah panglima kemudi kepada semua politik negara. Ini hakikat. Ini realpolitik. Politik Melayu menjadi panglima untuk mengkemudi arah negara. Politik Melayu menjadi kemudi politik Malaysia lahir dari hukum dan syarat sejarah. 
Selama lebih lima dekad parti United Malaya National Organisation yang berslogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Ketuanan Melayu’ menjadi hegemoni, memiliki kuasa mutlak. Parti politik ini bersama konconya dalam Barisan Nasional memonopoli ekonomi, politik dan budaya di Malaysia. Selama lebih 50 tahun gerombolan ini berkenduri-kendara, bercempera dan berpesta memungut dan memunggah harta kekayan negara. Tanpa segan-silu, gerombolan ini dan kroni-kroninya telah menjadi kaya-raya. 
Saya sekali lagi memberitahu pembaca bahawa politik ialah kuasa. Politik ialah ekonomi. Perebutan politik ialah perebutan kuasa untuk merebut ekonomi. Punca ekomomilah yang sedang menjadi rebutan Pakatan Rakyat denganUnited Malays National Organisation. 
Membaling batu ke ceramah Pakatan Rakyat adalah manifestasi perebutan politik. Mengganggu takzirah di masjid atas alasan tanpa tauliah adalah manifestasi perebutan ekonomi. Menggempur kenduri rumah terbuka adalah kerja politik. Kerja politik gerombolan ini dilihat ganas. Membaling batu dan melastik bola besi dilihat bahaya. Tetapi hakikatnya, inilah kegansaan yang dirancang. Jangan silap faham dan jangan salah hitung, semua disusun dan diatur. Di belakang simbah cat, baling batu dan lastik bola besi, wujud perancangan jahat yang lebih besar sedang menunggu. 
Betulkah apa yang saya tulis ini? Apakah ini hanya tohmahan murah untuk memburuk-burukkan United Malays National Organisation? Jawabnya, ini bukan tohamahan. Ini bukan fitnah. Semua ini memiliki asas dan fakta yang kukuh. Lebih 50 tahun United Malays National Organisation memiliki kuasa untuk mengagih-agih harta kekayaan negara kepada konco2 dan penyokong. Berbilion-bilion ringgit harta negara dikelepet. Berbilion ringgit diagih atas nama projek kepada kroni. Mereka berjoget dan bertandak sambil merembat harta kekayaan negara tanpa halangan. 
Tetapi sesudah 8 Mac 2008, semuanya berubah. Perubahan ini dimeterai oleh Bersih 2.0. Diperkukuh oleh Bersih 3.0. Dan dibuktikan bahawa hegemoni gerombolan ini telah kempis dengan Janji Demokrasi 2012. Justeru, perancangan keganasan disiapkan. Keganasan tersusun ini bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai agar kembali tunduk kepada kuasa multak, hegemoni United Malays National Organisation. Keganasan ini bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai yang mula berani turun ke jalan raya. 
Bayangkan jika orang ramai berani turun ke jalan raya dalam Bersih 2, Bersih 3 dan Janji Demokrasi, apakah mereka akan takut untuk mengundi Pakatan Rakyat? Jawabnya: Pastilah orang ramai sepuluh ribu kali lebih berani memberi undi kepada Pakatan. Inilah yang sedang berlaku. Untuk mendalami pemahaman, kita wajib melihat sejarah bagaimana taktik menakut-nakutkan orang ramai digunakan pada Bersih 2.0. Ugutan. Tekanan. Tangkapan. Semua gagal. Orang ramai masih berani turun ke jalan raya. Lihat pula sejarah Bersih 3.0 di mana secara dirancang, mata-mata yang bertugas ditanggalkan nama mereka. Ini bertujuan menyorokkan identiti mata-mata yang diarah untuk melakukan keganasan. 
Keganasan Bersih 3.0 dengan episod kereta terbalik, dengan serangan tembakan gas dan pancutan air kimia masih segar dalam ingatan. Maknanya semua keganasan yang dirancang, bertujuan menakut-nakut orang ramai dari turun ke jalan raya.  Projek menakut-nakutkan orang ramai, gagal. Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu memperlihatkan puluhan ribu warga anak semua bangsa turun ke Dataran Merdeka. Tiada sesiapa lagi yang takut. Warga Malaysia terutama anak muda telah jadi berani. Takut telah ditongsampahkan. 
Keberanian orang ramai ini diketahui oleh Najib Razak. Mahathir Mohamad telah mengalami ombak berani rakyat sehingga dia terpaksa berundur. Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi. Hishammuddin Hussein tahu realpolitik yang berlaku. Semua sedar bahawa kuasa hegemoni di tangan mereka akan terlucut. 
Justeru, pemikir, perancang yang diupah dan dilanggan United Malays National Organisation sedang bekerja keras. Pemikir dan perancang sedang melakar peta yang lebih besar untuk melawan ombak keberanian anak semua bangsa yang mula mengacungkan tangan untuk menghumbankan mereka ke tong sampah sejarah. 
Serangan kecil ini bertujuan mengolah persetujuan orang ramai bahawa suasana negara mungkin kacau jika Pakatan memerintah. Kekacauan yang kita lihat hari ini adalah persediaan. Apa yang mereka harapkan ialah balasan dari anak-anak muda penyokong Pakatan. Pemikir yang diupah ini berharap ‘keganasan’ yang mereka rancang ini akan ‘menaikkan darah’ penyokong atau simpatisan Pakatan. 
Ertinya, keganasan ini dijalankan bertujuan untuk menyemarakkan lagi bahang politik yang sedang berjalan. Rancangan jahat ini bertujuan untuk ‘menjemput’ penyokong Pakatan Rakyat secara bodoh untuk menyerang balas. Serangan balas inilah yang sedang ditunggu oleh United Malays National Organisation. 
Jika berlaku serangan balas dari Pakatan, maka media milik United Malay National Organisation akan berlabon 25 jam sehari. Berita akan diputar untuk memperlihatkan bahawa Pakatan ini satu badan politik yang tidak boleh dipercayai untuk mentabir negara. Keganasan di Semberong, Merlimau, Kerinchi, Pulau Pinang atau Kota Baru hanyalah persediaan jangka panjang United Malays National Organisation untuk menghadapi PRU 13. 
Perhatikan bagaimana projek sedang diagih kepada kroni dengan pantas sekali. Projek ini bukan ratus juta tetapi berbilion-bilion. Ini adalah persediaan untuk berhadapan dengan hakikat bahawa jika PRU 13 dijalankan dengan bersih dan adil, United Malays National Organisation dan konconya akan kalah besar. 
Untuk memastikan kuasa terus dimiliki, maka PRU 13 nanti akan dijalankan dengan penuh penipuan. Tetapi apa sangkut-pautnya penipuan pilihan raya dengan dengan keganasan simbahan cat merah? Pembaca wajib berwaspada keganasan yang berlaku minggu lalu, hingga ke hari ini masih belum ada dakwa-dakwi. Jika terus menerus tanpa dakwa dakwi hingga ke hari mengundi, maka inilah bukti sahih keganasan memang dirancang dan ditaja. Tujuan utama ialah menakut-nakutkan pengundi terutama orang Cina. 
Justeru keganasan ini adalah persediaan United Malays National Organisation untuk melakukan keganasan jika keputusan PRU13 tidak memihak kepada mereka. Pembaca perlu bertanya kepada diri sendiri. Jika pembaca yang memiliki projek berbilion-bilion, memiliki kekayaan berjuta-juta ringgit, memiliki syarikat ini dan itu, tuan empunya kilang itu dan ini, akan memberi laluan percuma kepada Pakatan mengambil alih pentdabiran? 
Biar saya senangkan soalan ini. Apakah Mahathir, Syed Mokhtar, Vincent Tan, Ananda Krishan, Daim Zainuddin, Teh Hong Piow, Quek Leng Chan, Azman Hashim, Tony Fernandes, Mokhzani dan dan dan… akan memberi Pakatan masuk Putrajaya? Saya senangkan lagi: Mana lebih murah, belanjakan beberapa puluh juta ringgit mengupah anak muda Melayu untuk membuat ganas dari sekarang atau kehilangan berbilion-bilion ringgit dengan kemungkinan dimasukkan ke penjara? Apabila pembaca dapat menjawab soalan ini, maka pembaca memahami keganasan yang berlaku sekarang adalah sebahagian dari projek ganas yang akan berlaku kemudian.

1 comment:

  1. Harapan agar semua yang membaca artikel ini akan memahami sedalam-dalamnya akan apa yg mahu diperjelaskan penulis. Saya amat setuju dgn pendapat dan kenyataan beliau..! SAHIH segala keganasan ini telah dirancang dgn agenda terserlah sekali.

    ReplyDelete

Lu orang nak komen, wa tak halang. Tapi lu kena la bertanggungjawab atas lu punya komen..
Lu nak maki wa ke, nak maki gomen ke tu lu punya pasal. Ada Aku Kesah??

My Blog List 1

My Blog List 2

My Blog List 3

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...