Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, sikap kerajaan Barisan Nasional yang enggan memberi penjelasan menyeluruh tentang usahasama 1MDBdan PetroSaudi menimbulkan keraguan kerana ia melibatkan “pelaburan” berbilion ringgit.
Menurutnya, jika usahama itu adalah pelaburan yang sebenar, dan bukan satu bentuk penipuan atau scam , ia perlu dijelaskan kepada rakyat.
“Apakah yang cuba diselindungi? Kalau syarikat PetroSaudi benar-benar hebat, tolong beritahu Dewan Rakyat betapa hebat syarikat tersebut dengan angka-angka kunci kira-kira dan penyata kewangan.
“Tapi jika diam membisu, ini bermaksud ada yang tidak mengena dan apa yang disyaki oleh Pakatan Rakyat ini adalah berasas,” katanya.
Menurutnya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dua kali membangkitkan isu “pelaburan” 1MDB ke dalam syarikat usahasama bersama PetroSaudi tahun lalu tetapi gagal mendapat jawapan penjelasan terperinci mengenai pelaburan tersebut.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menjelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah syarikat yang dimiliki kerajaan sepenuhnya dan segala pinjaman yang diperolehi oleh 1MDB ini adalah dijamin oleh kerajaan persekutuan.
Dengan itu, katanya, segala perbelanjaan 1MDB sepatutnya tidak berbeza dengan perbelanjaan kerajaan secara langsung.
Akan tetapi, tambah beliau, 1MDB diberikan kuasa mutlak untuk membuat pelbagai perbelanjaan atau pelaburan tanpa pantauan secara langsung daripada Parlimen.
“Pelaburan (dengan PetroSaudi) ini merupakan pelaburan wang rakyat yang cukup besar – US$1 bilion pada Sep 2009. Pelaburan ini adalah sebagai modal untuk pegangan saham 40% dalam syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi.
“Walau pun PetroSaudi sepatutnya menyuntik US$1.5 bilion untuk memenuhi syarat ekuiti 60%, PetroSaudi dibenarkan menyuntik sebuah aset medan minyak tengah Laut Caspian yang “berpotensi”.
“Maksudnya, yang disuntik bukannya wang tunai seperti pelaburan 1MDB. Yang disuntik adalah satu kawasan laut yang mungkin ada minyak,” katanya.
Yang anehnya, menurut Pua, 1MDB membuat keputusan untuk melupuskan pegangan saham dalam syarikat usahasama tersebut dengan menukar ekuiti kepada pinjaman Nota Murabahah yang bernilai US$1.2 bilion sedangkan Nota Murabahah itu bukannya pinjaman biasa di mana pinjaman dibayar balik secara beransur.
Untuk jangkamasa 11 tahun, PetroSaudi hanya perlu bayar balik nilai kupon sahaja sebanyak 8.67% sebelum kesemua hutang dibayar dengan sepenuhnya selepas 11 tahun, tambah beliau.
Beliau mempersoalkan sama ada matlamat 1MDB adalah untuk untuk menjadi Ah Long besar antarabangsa kerana sanngup mengeluarkan wang rakyat yang begitu banyak untuk syarikat asing.
“Siapa pula syarikat PetroSaudi ini sebenarnya? Mengikut laman web PetroSaudi International, ia merupakan sebuah syarikat yang baru ditubuhkan pada tahun 2005, tak sampai 4 tahun pun apabila 1MDB membuat pelaburan sebanyak US$1 bilion.
“Siapa yang memiliki syarikat PetroSaudi ini? Mengikut laman webnya, PetroSaudi International diasaskan oleh Tarek Essam Ahmad Obaid bersama beberapa pelabur persendirian yang tidak dinamakan.
“Siapa pula Tarek Essam Ahmad Obaid ini? Yang pelik, jika kita buat carian Google, namanya hanya muncul selepas perjanjian di antara 1MDB dan Petrosaudi dibuat. Langsung tidak ada berita mengenai Sheikh Tarek Essam ini di mana-mana pun yang boleh memberikan latar belakang beliau dengan lebih jelas,” jelasnya.
Malah, Pua mempersoalkan sama ada PetroSaudi yang ditubuhkan di kepulauan Seycelles benar-benar sebuah syarikat yang tulen – sehingga hari ini tiada siapa pun dari kerajaan atau 1MDB menjelaskan secara terperinci mengenai nilai syarikat Petrosaudi itu.
Menurutnya, rakyat tidak tahu sama ada 1MDB telah meminjamkan US$1.2 bilion kepada sebuah syarikat “kosong” atau pun sebuah syarikat yang benar-benar bernilai berbilion-bilion dolar.
“Apa yang membimbangkan ialah pinjaman tersebut tidak dibuat dengan sebarang ratings oleh agensi penilaian tempatan atau antarabangsa. Pinjaman bon atau sukuk yang dibuat dalam negeri pun memerlukan sokongan laporan dari Ratings Agency Malaysia (RAM) atau Malaysia Ratings Corporation (MARC).
“Tetapi pinjaman sebanyak US$1.2 bilion yang dibuat dengan wang yang dijamin oleh rakyat Malaysia, langsung tidak memerlukan sebarang akreditasi daripada mana-mana pihak,” ujarnya.
Apa yang lebih memeranjatkan adalah 1MDB bukan sahaja menukarkan ekuiti kepada pinjaman pada 31 Mac 2010, malah 1MDB telah memberikan pinjaman tambahan sebanyak US$500 juta (atau RM1.6 bilion) kepada PetroSaudi International, tambah Pua.
Menurutnya, semua maklumat itu terkandung dalam Penyata Kewangan 1MDB untuk tahun berakhir Mac 2011 yang diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penyata terkini tersebut telah dikemukakan kepada SSM pada Oktober 2011.
“Bila saya baca sampai hujung penyata, saya terkejut sekali lagi dalam bahagian “subsequent events”, di mana dilaporkan bahawa 1MDB telah memberikan pinjaman tambahan sebanyak US$200 juta kepada anak syarikat Petrosaudi pada Mei 2011.
“Maksudnya, walau pun anak syarikat Petrosaudi perlu membayar kadar kupon sebanyak US$105 juta setiap tahun kepada 1MDB, pinjaman tambahan yang dibuat adalah melebihi pulangan yang diterima.
No comments:
Post a Comment
Lu orang nak komen, wa tak halang. Tapi lu kena la bertanggungjawab atas lu punya komen..
Lu nak maki wa ke, nak maki gomen ke tu lu punya pasal. Ada Aku Kesah??