Sempena musim PRU13 ni aku nak ulas pasal politik negara kita dari kaca mata seorang yang non-partisan. Jangan risau urusan politik ni kita boleh sahaja berbeza pendapat. Benar atau salah mungkin berbeza antara individu bergantung kepada sumber maklumat yg diperolehi, faktor pendidikan & cara berfikir. Ia dibenarkan dalam Islam sebab ia urusan feqah dan bukan soal aqidah.
ASASNYA
- Jujurnya aku tak kisah siapapun yang memerintah negara kita asalkan pemerintah tersebut menghormati kebebasan intelek individu, keadilannya dirasai semua, kebajikan rakyat dijaga & memastikan keamanan dan keselamatan negara kita.
- Aku impikan sebuah negara yang hormati pemikiran manusia. Rakyat tidak dipaksa untuk mengundi dengan cara dipengaruhi fikirannya. Diberitahu untuk mengundi parti mereka sebab banyak jasa telah diberi. Bagi orang yang berpelajaran ia seperti satu 'hinaan' kepada tahap pemikiran mereka.
- Apabila parlimen dibubarkan, TIADA kerajaan mahupun pembangkang dalam negara. Sepatutnya masing-masing berada dalam 'Equal Playing Ground'. Masing-masing kena tonjolkan kelebihan parti masing2 dan idea baru yang ingin dibentangkan kepada rakyat. Peluang media sama rata supaya rakyat dapat nilai dengan adil pilihan tersebut.
- Bila satu pihak buat tuduhan kepada pihak satu lagi, mereka boleh menjawab dengan bukti dan fakta di media televisyen & surat khabar utama negara. Mereka lebih bertanggungjawab terhadap fakta dan janji yang diberi. Mereka lebih jujur sebab rakyat sedang menilai.
- Sayangnya ia tidak berlaku sekarang.
TENTANG BARISAN NASIONAL
- Kita kena berterima kasih kepada mereka kerana Barisan Nasional menjaga negara kita dengan baik hingga kini. Keamanan dapat dikekalkan. Aktiviti ekonomi berjalan lancar dan paling penting agama Islam dapat berkembang dan kita bebas melakukan ibadah harian.
- Namun, tempoh pemerintahan yang terlalu lama memang beri kesan negatif. Bila terlalu banyak kuasa diberikan, mereka 'kurang' hormati rakyat. Pemimpin semakin besar diri & sombong. Bila tiba musim pilihanraya baru nampak mukanya manis dan mesra. Ramai mahu menjadi ahli politik untuk menjadi kaya terutama orang melayu. Ada proxy dan kumpulan yang berlawan antara mereka utk berkuasa dalam parti. Kesannya rasuah dan salah guna kuasa berlaku.
- Lihatlah sendiri pemilihan pemuda, wanita, cawangan dan bahagian UMNO. Banyak politik kotor terlibat. Siapa berani menafikan perkara ini? Mereka percaya dengan ada 'kuasa' mereka mudah dapat kerja dan menjadi kaya dengan duit kerajaan. Ini yang membuatkan ramai orang tak suka dengan UMNO. UMNO terkenal sebagai batu loncatan untuk jadi kaya.
- Seharusnya kuasa kerajaan tidak menghalang pemikiran rakyat. Mesir dan Syiria rakyatnya bangun akibat merasakan mereka dihimpit dan dizalimi oleh kerajaan sendiri. Kebebasan disekat dan mereka xdapat bersuara. Walaupun tak banyak itulah yang dirasakan sesetengah rakyat di negara ini terhadap kerajaan BN.
- Aku memang anggap media massa yang berat sebelah ini menghalang pemikiran rakyat dari berkembang. Ia tanda kerajaan BN masih takut kepada bayang-bayang sendiri. Mungkin takut kelemahan diketahui umum.
- Rakyat semakin lama makin berpelajaran. Mereka boleh menilai dan mencari sumber berita alternatif sendiri. Walaupun bahan dari media alternatif ini kadangkala 'sampah' dan fitnah sekalipun mereka mudah percaya. Kerajaan BN perlu salahkan diri sendiri untuk itu.
TENTANG PAKATAN RAKYAT
- Kita juga perlu berterima kasih kepada Pakatan Rakyat sebab kekuatan mereka dalam parlimen dan kerusi DUN menyebabkan kerajaan sekarang lebih menghormati rakyat. Banyak bantuan diberikan kepada rakyat yang tidak pernah ada sebelum ini.
- Tapi kadangkala aku muak dengan cara yang digunakan mereka untuk menjadi pemerintah. Kelihatan mereka lebih banyak cari kesalahan, kesilapan & kelemahan pemimpin dalam BN untuk mendapat 'political milage' berbanding beri alternatif danmarket kekuatan yg mereka ada.
- Maksud aku begini, kalau kita tanya penyokong PR kenapa mereka sokong PR, aku percaya banyak jawapannya sebab keburukan pemimpin BN dan kelemahan parti UMNO. Cerita tentang Rosmah, Najib, Shahrizat dan pemimpin lain mendominasi. Faktor itu lebih mendapat tempat di hati daripada bicara tentang kelemahan kerajaan BN seperti kesilapan dlm tentukan dasar pendidikan kita, struktur hutang negara yg tinggi dan sebagainya. Bagi mereka, semua perkara yang tidak elok berlaku dalam negara adalah salah BN sepenuhnya.
- Ramai antara mereka juga tidak jelas dan 'hadam' apa langkah kerajaan PR nak atasi kelemahan kerajaan sebelum ini. Apa alternatif untuk program kerajaan yang bagus dalam ETP dan MEB? Adakah mekanisma PR untuk turunkan harga kereta, free highway dan beri pendidikan percuma itu logik dan boleh dilaksanakan? Apa pula kesannya kepada hutang negara dan ekonomi negara? Adakah penyokong PR tahu jawapannya atau semuanya masih salah BN walau selepas mereka perintah kelak?
- Aku teringat dalam satu ceramah PRU12 lepas ada seorang pemimpin dari PR janji untuk tutup kilang arak di Shah Alam sebab ia galakkan maksiat. Semua orang bersorak dan bertakbir kegembiraan! Proses itu bukanlah semudah bercakap di pentas ceramah. Sampai sekarang kilang2 arak tu terus beroperasi. Kalaulah perbincangan ilmiah dijalankan sblm disebarkan ia lebih baik.
- Namun, mereka tak kisah tentang ini kerana 'character assassination' lebih menarik untuk dibincangkan dan tarik emosi rakyat. Jadi lebih banyak aib dan fitnah disebarkan walhal ia dilarang keras dalam agama kita. Perkara ini ada dalam hadis dan Quran. Asas dalam Islam, kalau aib tu berkaitan dengan individu seperti aurat, zina dan minum arak kita dilarang hebahkan. Itu antara mereka dengan Allah. Tapi bila berkait dengan maslahat ummah seperti rasuah, seleweng dan penindasan kita kena sebarkan supaya orang lain tidak dizalimi. Ini apply untuk kedua2 pihak.
CARA YANG BETUL
- Bagi aku dalam memilih pemerintah kita kena ada maklumat yang cukup. Tentang calon, manifesto & kaedah yang dicadang untuk bangunkan negara. Kena buat kajian dan bacaan. Kalau kita sengaja pilih calon yg lemah jadi pemimpin sedangkan kita tahu kelemahannya, kita berdosa sebab ia beri kemudharatan kepada orang lain kelak.
- Kita kena adil kepada kedua-dua pihak BN & PR. Beri mereka ruang untuk bentang manifesto dan terangkannya. Sokongan membabi-buta tu melambangkan tahap pemikiran yang masih dipengaruhi emosi. Kita lebih bijak dari itu.
- Aku impikan satu keadaan di mana media bebas dan rakyat juga bebas memilih sesiapa jadi pemerintah tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Pemilihan tersebut pula kritis dan demi masa depan negara yang lebih baik.
- Contoh, setelah mendengar hujah kedua-dua pihak kita pilih Pakatan Rakyat kerana Anwar Ibrahim mempunyai langkah penyelesaian ekonomi & pendidikan lebih baik dari yang dicadangkan Najib Razak.
- Kemudian setelah mandat 5 tahun diberi, kelihatan Anwar Ibrahim tidak mampu laksanakan apa yang dijanji. Jenayah pula meningkat dan ramai orang tiada kerja. Najib atau sapa sahaja dari BN pula mempunyai kaedah untuk selesaikan kelemahan tersebut. Kita pilih Barisan Nasional untuk mandat baru. Begitulah seterusnya.
- Tetapi jujurnya, kalau kita terlalu fanatik kepada BN atau pun PR perkara ini sukar berlaku. Sebab tu kena simpan sedikit percaya untuk pihak lain. Sekurang-kurangnya kita tak taksub dengan parti kita hingga tak nampak dan akui kelemahan sendiri apatah lagi akui kebaikan parti lawan.
Kesimpulannya, kita hanya beri KUASA kepada mana-mana parti politik untuk jadi kerajaan dengan keadaan mereka tidak boleh ego dan sombong. Tidak terlalu kuat dan berkuasa. Dengan itu, kerajaan akan lebih hormat kehendak rakyat. Tiada lagi ditakutkan bila pilih kerajaan berlainan, akan jadi begitu dan begini.
Kita perlukan kerajaan dan pembangkang yang kuat untuk imbangi kuasa (check & balance). Ini politik zaman sekarang. Bukan cerita 30-40 tahun lepas.
Ini merupakan pendapat aku semata. Banyak lagi bab aku tak sentuh. Tiada masalah jika kita berbeza pendapat. Siapapun yang memerintah kelak, mudah-mudahan negara Malaysia ini bergerak ke hadapan dalam semua perkara. Ingat, negara tidak masuk syurga dan neraka. Cara kita memilih pemimpin, berpolitik, sebarkan berita, fitnah dsb itu yang jadi ukuran dosa pahala yang membawa implikasi syurga atau neraka.
Wallahua'lam.
Sumber : Cerita Budak Jawa
Allah telah perintahkan setiap manusia memilih pemimpin untuk urusan kehidupan didunia ini .macam mana pula timbul aku tak kisah sapa perintah ini yang tak betul
ReplyDelete