Apabila tiada ketelusan, apabila semuanya ternyata kabur, apabila kredibiliti pemerintah berada pada tahap yang paling rendah, persepsi, yang lazimnya berasaskan khabar angin, cerita kedai kopi dan media alternatif, menjadi segala-galanya.
Lihat sahaja masalah jenayah. Semasa rakyat mula khuatir akan kebajikan dan keselamatan diri mereka, pemerintah dengan gah mendabik dada mengenai statistik pencegahan dan penurunan kadar jenayah yang kononnya membanggakan.
Apabila statistik tersebut dipertikaikan dan data yang bertentangan disiarkan, pihak pemerintah memberikan alasan dan bukannya penjelasan yang munasabah.
Hal tersebut kemudiannya dengan segera diketepikan oleh media arus perdana yang dikawal pemerintah dengan harapan rakyat akan melupakannya.
Namun sudah tentu rakyat tidak lupa. Peningkatan kadar jenayah dapat dilihat setiap hari oleh rakyat, mengakibatkan rakyat tidak mempercayai penjelasan pemerintah.
Lihat juga kes penahanan beberapa orang pemuda baru-baru ini akibat perbuatan mereka menghalakan punggung serta memijak gambar-gambar pemerintah.
Kelakuan mereka ini dikatakan biadab oleh sesetengah pihak dan, lebih serius, perbuatan yang harus didakwa, tanpa penjelasan mengapa, bawah akta yang terkutuk, Akta Hasutan.
Apabila ditekankan yang tiada tindakan seumpamanya diambil terhadap kelakuan yang lebih biadab oleh juak-juak kerajaan terhadap pihak pembangkang, barulah dengan segera pihak berkuasa kononnya bertindak terhadap samseng-samseng ini.
Atau itu yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa walaupun masih belum ada pihak yang direman atau digari dan diheret ke balai polis atas kesalahan kencing pada gambar Nik Aziz Nik Mat serta membakar poster Lim Guan Eng dan pemimpin BERSIH, Ambiga Sreevanesan. Sekali lagi tiada ketelusan dan keraguan rakyat kian menebal.
Kini, Suaram pula diserang bertubi-tubi
Ada pula ura-ura bahawa semua yang terjadi sebenarnya hasil kerja orang dalam parti untuk menjatuhkan pemimpin tertinggi mereka.
Atau mungkin sememangnya ramai dalam kalangan pucuk pimpinan yang sudah sangat terdesak kerana leher mereka semakin dijerut oleh skandal kapal selam Scorpene. Tambahan pula, pilihan raya semakin hampir.
Oleh sebab itu, mereka mula mengganas secara membabi buta. Mungkin untuk menutup segala pekung di dada. Apapun sebabnya, serangan berterusan terhadap Suaram, walaupun boleh diduga, adalah sangat menjengkelkan, sangat menjijikkan, dan menunjukkan kedangkalan ilmu serta ketandusan idea pihak pemerintah.
Tidak kurang daripada enam agensi, Bank Negara, Kementerian Dalam Negeri, polis, Pendaftar Pertubuhan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dilaporkan sedang menjalankan siasatan terhadap Suaram.
Jelas bahawa ini taktik pemerintah untuk menghentam Suaram dengan segala senjata yang ada. Ia seakan-akan menggunakan kereta perisai untuk membunuh semut.
Namun, walaupun dengan serangan yang bertubi-tubi, masih belum ada pendedahan yang menggemparkan dibuat.
Selain daripada anggapan liar mengenai transaksi yang `meragukan' seperti yang dilaporkan oleh media Internet, tuduhan paling berat yang dilemparkan terhadap Suaram ialah menerima dana daripada organisasi asing Jerman dan yang dimiliki George Soros yang dianggap penyangak oleh pihak-pihak tertentu.
Jika benar pun dakwaan ini, apa pula salahnya mereka menerima dana tersebut?
Organisasi terbabit, termasuk yang dikaitkan dengan George Soros, bukanlah kumpulan penjenayah.
Dan seperti Suaram, mereka juga sememangnya amat prihatin tentang persoalan hak asasi manusia.
Mereka mempunyai rekod baik dalam menyumbangkan dana kepada organisasi masyarakat yang terlibat dalam kerja-kerja amal dan yang mementingkan hak asasi di serata dunia.
Apa pun, kekalutan dan dakwaan mengenai penyumbang dana dari luar ini perlu dihentikan. Mitos yang sering disajikan kepada rakyat ialah setiap perkara yang datang dari luar, terutamanya dana asing, bersifat jahat.
Jika ini benar, hampir separuh daripada kajian yang dilakukan di universiti-universiti tempatan misalnya terpaksa dihentikan. Realitinya, agensi antarabangsa, antarakerajaan, dan bukan kerajaan banyak menyediakan dana supaya aktiviti kemasyarakatan dapat dijalankan di serata Malaysia.
Hal ini telah menjadi satu kelaziman semenjak wujudnya beberapa universiti, institusi kajian dan badan bukan kerajaan.
Sesungguhnya, tanpa dana dari luar, ramai rakan-rakan setugas saya terpaksa pulang ke England.
Selain itu, pelaburan asing yang masuk ke dalam negara setiap hari menunjukkan betapa negara kita amat bergantung kepada dana asing. Suka atau tidak, inilah yang dikatakan globalisasi.
Oleh itu, kerjasama daripada pihak luar amat diperlukan kecuali jika negara kita mempunyai dana dan kepakaran yang mencukupi. Malangnya, kebelakangan ini, di atas sebab-sebab yang mungkin hanya pemerintah dapat jelaskan, peruntukan yang diperlukan di dalam negara ini boleh dikatakan agak kekurangan.
Ini menyebabkan kemampuan diri negara terjejas. Ini menyebabkan kita terpaksa bergantung kepada sumber-sumber lain.
Kita boleh kuat bercakap tentang ketuanan dan segala lain yang karut, menolak semua dana asing serta kembali ke zaman pra-peradaban yang hubungannya dengan dunia luar, yang `kita' anggap penuh kejahatan dan sangat terbatas.
Kita akan sentiasa berasa selamat seperti katak di bawah tempurung dengan pemikiran bahawa hanya kitalah dunia sebenar, kita sajalah yang penting.
Yang jelas, penerimaan dana asing ialah realiti yang munasabah. Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan Suaram selama ini pasti akan menghargai usaha murni yang dilakukannya untuk memperbaiki masyarakat.
Pelbagai kajian dan penerbitan yang dihasilkan terus digunakan oleh ahli akademik dan pemerhati dalam dan di luar negara.
Di Malaysia mahupun luar negara, Suaram mempunyai reputasi pengkritik bebas yang berani mengutarakan isu-isu pencabulan hak asasi manusia, gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sesungguhnya, ini semua isu-isu yang pemerintah, melalui program transformasinya serta slogan `rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' dan berjanji untuk menyelesaikan... walaupun mungkin mereka maksudkan penyelesaian di hayat yang lain.
Adakah mereka benar-benar percaya bahawa dengan mendakwa Suaram, mereka akan berjaya menutup mulutnya atau pandangan badan-badan bukan kerajaan yang lain yang menunggu untuk meneruskan perjuangan Suaram?
Adakah mereka fikir mereka dapat menjatuhkan Suaram dengan menakut-nakutkannya serta mengganggu dan menyerangnya dalam satu ketika di mana ramai rakyat Malaysia sedar bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena?
Adakah juga mereka tidak sedar bahawa ramai rakyat Malaysia sedang mempersoalkan mengapa organisasi lain yang mereka anggapkan benar-benar melakukan kesalahan, seperti National Feedlot Corporation tidak diserang sedemikian, sedangkan Suaram yang menjadi sasaran?
Ya, Suaram, yang 'secara kebetulan' merupakan organisasi yang mendedahkan skandal kapal selam Scorpene yang mampu meranapkan pemerintahan BN.
Jika pemerintah menggunakan ugutan dan penindasan sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan seperti ini, nescaya strategi ini akan gagal.
Ramai rakyat Malaysia telah muak dengan taktik kotor seperti ini. Mereka - kami - jelas mempunyai pandangan buruk terhadap rejim yang sekali lagi berusaha untuk menutup mulut sebuah organisasi kecil yang berterusan mendedahkan salah laku kerajaan.
Sebuah organisasi yang bakal mendedahkan perkara-perkara yang buat masa ini menakutkan beberapa ahli politik tertinggi dalam rejim ini.
Sebuah organisasi yang sesungguhnya satu daripada banyak lagi.
Sumber : Rom Naim, Malaysiakini
Live22: A Leading Provider of iGaming Slots
3 weeks ago
No comments:
Post a Comment
Lu orang nak komen, wa tak halang. Tapi lu kena la bertanggungjawab atas lu punya komen..
Lu nak maki wa ke, nak maki gomen ke tu lu punya pasal. Ada Aku Kesah??