Saturday, March 9, 2013

Hugo Chavez pemimpin ulung Amerika Latin..

Hugo Chavez adalah Presiden Venezuela yang paling kontroversi dan dihormati sejak tiga dekad lalu. Beliau amat terkenal kerana kelantangan menentang Amerika Syarikat (AS), berkawan dengan Fidel Castro dari Cuba dan Mahmoud Ahmadinejad dari Iran serta menggelarkan AS sebagai syaitan besar ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York tidak lama dulu.

Agenda beliau yang antiimperialisme berjaya menyatukan pemimpin negara Amerika Latin untuk keluar daripada kepompong pengaruh AS. Ini menjadikan beliau popular walaupun pengkritik hanya melihat beliau sebagai seorang diktator sosialis. 

Sejarah kehidupan dan politik Hugo Chavez ini penuh dengan pancaroba, yang hampir menggagalkan beliau sebagai pemimpin ulung Venezuela. Kini, rakyat Venezuela dan Amerika Latin bersedih dengan kematian beliau pada 5 Mac lalu ketika berusia 58 tahun sebelum sempat mengangkat sumpah untuk penggal keempat sebagai Presiden Venezuela. Sejak dua tahun lalu, beliau menghidap penyakit barah. Maka, berakhirnya pemerintahan Chavez sejak 1998 yang penuh persaingan, penentangan dan pembaharuan yang menjadi perhatian dunia. 

Beliau dilahirkan dalam keluarga kelas pekerja di Sabaneta. Beliau mula berkhidmat sebagai tentera sebelum menyertai politik dengan menubuhkan Gerakan Revolusi Bolivarian 200 (MBR-200) pada 1980-an. MBR-200 juga cuba menukar sistem politik Venezuela dan terbabit dalam rampasan kuasa yang gagal ke atas Presiden Carlos Andres Perez pada 1992. Ini menyebabkan beliau dihukum penjara dua tahun. 

Sebaik keluar penjara, beliau menubuhkan parti Gerakan Republik Kelima yang kemudian membawa beliau ke kemuncak politik apabila terpilih sebagai Presiden Venezuela pada 1998 dengan membawa agenda dan ideologi demokratik sosial.

Pada awal pemerintahannya, Chavez tidak secara drastik mengumumkan penentangan beliau terhadap dasar luar AS, malah beliau juga cuba berbaik-baik dengan AS. Beliau memberi fokus kepada pembaharuan politik, ekonomi dan sosial yang menyebabkan beliau popular di kalangan rakyat Venezuela.

Beliau bertindak meningkatkan pendapatan perkapita penduduk selain cuba membanteras kemiskinan, jenayah dan menurunkan kadar buta huruf di kalangan rakyat. Beliau juga mengurangkan perbelanjaan negara yang mewah.

Beliau juga membentuk Perlembagaan baru Venezuela pada 1999 untuk membanteras rasuah politik yang menggagalkan pembaharuan politik daripada berlaku dan menguatkan proses semak dan imbang dalam proses politik. Namun pengkritik Chavez melihat pembaharuan dibawa beliau hanya untuk menguatkan kuasa pemerintahan.

Walaupun bergerak atas landasan sosialisme pada awal pemerintahan, Chavez dilihat menyokong agenda kapitalisme dan cuba menerapkan dasar neoliberalisme dalam pembaharuan ekonomi. Beliau juga cuba menerapkan beberapa polisi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan membawa pelaburan asing khususnya dari AS ke Venezuela. 

Hubungan Venezuela dan AS mula tegang pada 2000 apabila Chavez melanggar sekatan ekonomi AS terhadap Cuba dengan menjual 53,000 tong minyak setiap hari kepada Cuba dengan harga sangat murah sebagai balasan Cuba menghantar 20,000 ahli perubatan dan pendidik terlatih Cuba untuk menjayakan pembaharuan sosioekonomi Chavez. Kemudian Chavez mengkritik dasar Perang Menentang Keganasan dan imperialisme Bush khususnya di Afghanistan. 

Tindakan Chavez yang amat dimarahi oleh AS ialah apabila memiliknegarakan syarikat minyak Venezuela yang kebanyakannya dikuasai syarikat AS ke dalam syarikat minyak tunggal iaitu Petroleos de Venezuela SA (PdVSA). 

Gerakan rampasan kuasa yang juga didukung komuniti perniagaan, media dan beberapa parti politik pembangkang hampir berjaya menumbangkan Chavez dengan melantik Pedro Carmona selaku Presiden sementara Venezuela. 

Selepas itu, beliau berjuang atas dasar sosialisme dan mula membantu dan berbaik dengan rejim sosialisme di serata Amerika Latin yang menyebabkan pengaruh AS semakin berkurangan di benua Latin. Namun, kematian beliau menimbulkan tanda tanya siapakah penerus agenda beliau di Amerika Latin. Apa yang pasti, Venezuela dan Amerika Latin memerlukan pemimpin berani seperti Hugo Chavez untuk terus berdaulat dan tidak diperkotak-katikkan oleh campur tangan asing khususnya AS.

Sumber : Klik sini dan sini

1 comment:

Lu orang nak komen, wa tak halang. Tapi lu kena la bertanggungjawab atas lu punya komen..
Lu nak maki wa ke, nak maki gomen ke tu lu punya pasal. Ada Aku Kesah??

My Blog List 1

My Blog List 2

My Blog List 3

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...