Sampai hari ini, tiada satu bukti pun menunjukkan perhimpunan BERSIH 3.0 adalah cubaan untuk merampas kuasa atau menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak.
Justeru, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tidak menghairankan apabila tidak ada seorang menteri pun yang berani meminta Perdana Menteri menjelaskan dakwaan yang liar dan tidak berasas beliau bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu adalah satu cubaan Pakatan Rakyat untuk menggulingkan kerajaan.
Katanya, para menteri tentunya bersetuju bahawa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein, gagal menunjukkan sekelumit bukti pun untuk mengesahkan dakwaan karut yang tidak munasabah itu.
Menurutnya, walaupun dakwaan liar Najib itu disokong oleh tiga bekas Ketua Polis Negara – Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan – dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz yang diminta menjelaskannya di di Parlimen minggu lalu, tidak seorang pun dapat membuktikan tuduhan mereka yang sama sekali tidak berasas itu.
“Tetapi di khalayak ramai, tidak ada seorang pun menteri yang berani untuk menyatakan bahawa Najib hanya pentingkan imejnya dan takut kepada persepsi umum. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang berani mengatakan dakwaan untuk menggulingkan kerajaan sebagai tidak berasas,” ujarnya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib dan semua menteri Kabinetnya tidak berani mengemukakan bukti serta takut untuk minta maaf atas dakwaan karut tersebut, sebaliknya menjadikan Parlimen pada minggu lalu sebagai medan menyebarkan fitnah.
“Menteri-menteri Najib dan penyokong-penyokong tegar BN terus memfitnah dan mencemuh ratusan ribu peserta BERSIH 3.0 terutama sekali dengan kenyataan Nazri bahawa ‘garam dan botol air” boleh menggulingkan kerajaan Barisan Nasional.
“Najib mesti sedar bahawa tindak-tanduk beliau sekarang sedang membawa padah kepada Barisan Nasional dengan lemparan tohmahan yang karut dan tidak munasabah terhadap perhimpunan BERSIH 3.0,” tambah beliau.
Katanya, UMNO dan BN akan menerima akibat daripada amalan politik kotor yang tidak bertanggungjawab dalam pilihanraya yang akan datang apabila rakyat akan menentukan masa depan mereka.
Sumber : Roketkini.Com
Sumber : Roketkini.Com
No comments:
Post a Comment
Lu orang nak komen, wa tak halang. Tapi lu kena la bertanggungjawab atas lu punya komen..
Lu nak maki wa ke, nak maki gomen ke tu lu punya pasal. Ada Aku Kesah??