Friday, April 26, 2013

Sosialisme dan Islam pernah dan terus bekerjasama..

Kami ingin menegaskan bahawa ajaran-ajaran Islam tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas sosialisme.
Islam hadir untuk merapikan akhlak dan membetulkan dacing kelas supaya kemewahan tidak berat sebelah bertompok kepada satu golongan semata-mata.
Sementara sosialisme mengkehadapankan keprihatinan untuk menyelamatkan anggota masyarakat dari kemelaratan dan kemiskinan, membasmi penindasan sosial, dan membetulkan ketidakadilan berakibat dari imbangan kekayaan yang tidak merata.
Al Quran menyatakan kekayaan yang tidak diurus dengan akhlak dan etika adalah salah satu punca penindasan dan keangkuhan. Allah berfirman dalam surah al-Qashash di ayat 76, terjemahannya:
“Sesungguhnya Qaarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) tatkala kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu).”
Adalah jelas penentang Islam terdiri daripada golongan kaya yang korup dan mengamalkan rasuah, dan mengelak dari keseimbangan kelas.
Allah berfirman lagi dalam ayat 34 surah Saba’, maksudnya; “Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: Seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.
Ini menunjukkan bahawa konfrontasi antara para nabi dengan kumpulan lawannya adalah bukan sahaja konfrontasi antara iman dengan kekufuran, tetapi juga konfrontasi antara dua kelas sosial iaitu kelas tertindas dan kelas penindas.
Dalam hal ini al Quran merujuk kaum penindas sebagai mustakbirun  dan kaum tertindas sebagai mustadafin. Perjuangan antara mustakbirun dan mustadafin ini akan terus berlangsung dan kaum mustadafin akan menjadi juara lantas mewarisi muka bumi ini.
Allah berfirman dalam surah al Qasas ayat 5, terjemahannya: “Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya)”.
Hakikat bahawa Islam memihak kepada kaum kecil adalah jelas. Dalam hal ini kami ingin merujuk kepada kata-kata Dr Burhanuddin Al-Helmy, antara tokoh terawal Parti Islam Se-Malaysia tentang keintiman sosialisme dan Islam:
“Kerana dasar ideologi politik itu daripada Al-Quran dan Sunnah, maka cita-cita negara Islam itu boleh dikatakan cita-cita ‘negara theocracy’; sebagai membandingkan negara theocracy Islam itu nyata bukan cara ‘theocracy’ yang difahamkan Barat.
Jika teori sosialisme dan komunisme primitif itu menghendaki collective maka masyarakat primitif itu juga adalah ‘theocracy’; hal ini terbukti dalam sejarah. Maka Islam ada jua theocracy collective, atau theocracy sosialisme.”
Profesor Tariq Ramadan, cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, as Syahid Hassan al Banna juga kerap menegaskan bahawa Islam sangat dekat dengan sosialisme, sehingga beliau menyebut; “As a Muslim, I am close to socialism.”
Jika Islam memilih untuk melawan mustakbirun dalam kalangan korup, maka demikianlah juga yang diinginkan oleh sosialisme.
Hal ini misalnya terlihat pada kata-kata Pengerusi parti PSM, Dr. Mohd Nasir Hashim bahawa sosialisme berhasrat untuk menentang ekonomi mencerut dan bersiap untuk menyelamatkan anggota masyarakat dari bencana ketamakan kekayaan seandainya sistem lapuk dan jahat ini runtuh;
Sesungguhnya persamaan yang menonjol antara Islam dan sosialisme sangat banyak. Hakikat bahawa kedua-duanya Islam dan sosialis berhasrat untuk membendung cengkaman kaum mustakbirun adalah satu kenyataan yang memadai untuk berdialog dan bekerjasama.
Di peringkat global, Ikhwanul Muslimin sentiasa bekerjasama dengan puak sosialis dalam satu pakatan yang dinamai Cairo Anti-war Conference sejak 2002.
Solidariti antara kaum sosialis dan Islam sudah berlangsung, khususnya dalam melawan pelbagi bentuk hegemoni. Kumpulan sosialis adalah antara kumpulan yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan di Palestin.
Pemimpin sosialis seperti Hugo Chavez dari Venezuela adalah antara figur yang tidak pernah berbelah bahagi mendokongi perjuangan rakyat Palestina seiring dengan kaum muslim. Hamas misalnya menyifatkan Chavez sebagai pejuang Palestin.
Dengan mengambil kira kerangka tahaluf siyasi antara dua jemaah Islam yang berpengaruh di rantau Asia Barat tersebut, kami percaya dengan sesungguhnya bahawa semua rakyat Malaysia yang berperikemanusiaan boleh bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia dalam melawan tirani, rasuah, ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia di negara ini.
Sesungguhnya adalah merupakan satu kerugian jika rasa curiga, tidak percaya dan sangkaan semata-mata antara seorang dua pemimpin Parti Islam Se-Malaysia yang kurang memahami inti sebenar sosialisme dijadikan alasan untuk berselisih dengan Parti Sosialis Malaysia.
Satu-satunya pihak yang akan menang dan mendapat keuntungan dalam pertembungan ini adalah kaum mustakbirun korup yang berlonggok dalam sistem politik negara ini.

No comments:

Post a Comment

Lu orang nak komen, wa tak halang. Tapi lu kena la bertanggungjawab atas lu punya komen..
Lu nak maki wa ke, nak maki gomen ke tu lu punya pasal. Ada Aku Kesah??

My Blog List 1

My Blog List 2

My Blog List 3

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...